Kehidupan peribadi Rita_Rudaini

Rita yang aktif dalam bidang sukan ketika sekolah rendah merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan daripada Kolej Damansara Utama dan pernah berkhidmat sebagai pramugari Penerbangan Malaysia.

Pada 1999, ketika berusia 23 tahun Rita melangsungkan perkahwinan dengan pengulas sukan TV3, Akbar Shaari. Namun mereka bercerai pada 2001 dan disahkan mahkamah pada 2004. Ketika masih bergelar isteri kepada Akbar, Rita merahsiakan status dirinya kepada media atas alasan urusan peribadi tidak ada kena mengena dengan kerjaya seninya.

Selepas berpisah dengan Akbar, Rita dikaitkan menjalin hubungan dengan penyanyi dan usahawan Fazley Yaakob pada 2001 dan selepas itu Rita dikhabarkan intim dengan aktor kacak Ako Mustapha. Namun hubungan mereka tidak bertahan lama. Rita kemudiannya agak panas dengan kisah cintanya bersama pemuzik Sham Kamikaze. Pasangan ini mendapat publisiti meluas daripada pihak media hinggalah mereka memutuskan hubungan pada 2003.

Rita dan aktor Hans Isaac digandingan bersama dalam drama siri Kutub Utara Kutub Selatan dan sejak itu dikhabarkan mereka menjalinkan hubungan selepas Hans putus dengan aktres Elaine Daly. Namun kedua-duanya menganggap hubungan mereka hanya kawan. Selepas agak lama tidak dikaitkan bersama, Rita dan Hans digandingan sebagai penyampai anugerah di Anugerah Skrin 2006, sebelum itu mereka pernah menjadi penyampai anugerah ABP pada 2004.

Dalam pada itu, Rita juga menjalinkan hubungan yang baik dengan aktor Zizan Nin. Zizan dianggap sebagai salah seorang daripada ahli keluarga Rita sendiri, dan seringkali meluangkan masa bersama keluarga Rita di Kg Utan Aji, Perlis. Sementara aktor Ezany Nizariff merupakan senior sekolah menengah Rita, dan kini mereka juga berkawan rapat. Antara kawan rapat aktres ini dalam industri hiburan adalah Nadia Mustafar, Catriona Ross dan juga Nasha Aziz.

Rita dikhabarkan berkawan baik dengan aktor antagonis Fauzi Nawawi, namun Rita menafikan. Desas desus mengenai hubungan mereka lenyap begitu saja apabila Fauzi mengumumkan kekasih beliau adalah aktres Lisdawati. Beliau dan Lisdawati merupakan angkatan aktres yang agak rapat pada tahun 2001-2003. Mereka bergandingan dalam filem Mistik (2003). Namun hubungan mereka tercalar pada Ogos 2006 apabila kedua-duanya berperang besar ketika melakonkan adegan babak gaduh di kolam renang untuk drama siri Kau Yang Ku Sayang arahan Rashid Sibir. Pergaduhan tersebut membawa Rita ke siasatan polis. Rita didapati tidak bersabit dengan segala dakwaan Lisdawati bahawa dirinya dicederakan dengan sengaja oleh Rita. Semenjak kejadian tersebut hubungan kedua-duanya terus dingin. Pada 2009, Lisda menggantikan Rita untuk musim kedua drama Bicara Aur & Tebing disebabkan Rita yang masih dalam pantang.

Rita kemudian mengumumkan bahawa dia sedang intim dengan pemain bolasepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak. Aidil hanya berusia 21 tahun ketika itu, sementara Rita mencecah usia 32 tahun. Setelah lama menjalinkan hubungan dan menjadi bahan panas media, pada Disember 2008 keluarga Aidil Zafuan secara tiba-tiba mengumumkan bahawa Rita dan Aidil telah menikah sejak Februari 2008 di Songkla, Thailand. Pernikahan rahsia itu tidak diketahui ahli keluarga Aidil.

Berita panas itu menyebabkan Rita dan Aidil muncul memberi penjelasan dan kemudian mengumumkan bahawa Rita sedang mengandungkan anak sulung mereka. Pada 9 Julai 2009, Rita selamat melahirkan anak lelaki bernama Airit Rayyan Rizqin . Rayyan dilahirkan di Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Bayi seberat 2.9kg itu sempurna dan sihat. Pada tahun 2010, Rayyan bersama sebilangan anak-anak selebriti menyertai pertandingan bayi comel yang mana dimenangi oleh anak gadis Erra Fazira, Engku Aleesya.

Rita Rudaini dan suaminya hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 6 Mei 2010 untuk mengemukakan rayuan berhubung kes nikah tanpa kebenaran. Aidil menjawab mereka bernikah di negara jiran ekoran tidak mendapat persetujuan daripada ahli keluarganya. Rita pula memberitahu, keluarga mertua tidak menyukai dirinya. Rayuan tersebut dikemukakan sebelum Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohd Zin menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara 15 hari terhadap Rita dan Aidil setelah masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Pasangan itu didakwa bernikah di luar kariah tanpa kebenaran mahkamah iaitu di Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand kira-kira pukul 9.30 malam, 28 Februari 2008. Mereka didakwa mengikut Seksyen 40(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Sohibul Kahfi Hussin manakala Rita dan Aidil tidak diwakili peguam. Pada 22 April 2010, mahkamah yang sama mengesahkan pernikahan pasangan itu di negara jiran adalah sah dari hukum syarak. Menurut surat nikah dari Pejabat Agama Islam Wilayah Songkhla, Rita Rudaini dan Mohd. Aidil Zafuan dinikahkan oleh Naib Kadi Wilayah Songkhla, Chowalit Pinsuwan.

Namun pada 1 Oktober 2010, Rita mendedahkan bahawa rumahtangganya kini dilanda badai ekoran campurtangan keluarga mentua dan orang luar.Rita dikhabarkan menjadi mangsa kebencian ipar duai keluarga pemain bola itu.[1] Dalam kenyataan akhbarnya, Rita seolah membayangkan penglibatan dramatis Ayu Raudhah dalam krisis rumahtangganya. Ayu yang bakal mengahwini adik kembar Aidil iaitu Mohd Zaquan Adha dituduh menyebarkan fitnah terhadap diri Rita.[2]

Kemuncak daripada krisis ini, Rita mendedahkan suaminya tidak pulang ke rumah sejak Aidilfitri sebaliknya kembali tinggal di rumah mentuanya. Anak lelakinya juga pernah dibawa ke rumah mentua tanpa pengetahuan Rita sendiri. Aidil pada 9 Oktober mengeluarkan kenyataan akan memberi penerangan berhubung krisis rumahtangga mereka. Dia juga membayangkan perkahwinan mereka tidak akan bertahan lama. Krisis ini mendapat liputan meluas media massa dan ramai yang memberi komentar yang membincangkan perkahwinan tanpa restu.[3]